Tarikh Kandungan : 15-01-2009
Pesanan Kerajaan (LO) “Songsang” adalah merujuk kepada LO yang dibuat selepas tarikh sesuatu perkhidmatan telah dilaksanakan oleh pembekal kepada sesebuah agensi kerajaan.
Baru-baru ini Cawangan Kewangan telah menyenaraikan hampir 300 LO Songsang yang jumlahnya lebih 2 juta ringgit dilakukan oleh pegawai-pegawai di Jakim sepanjang tahun 2008. Pegawai-pegawai berkenaan dicadang akan dikenakan surcharge di atas kesilapan mereka tersebut.
Keadaan ini membuatkan pegawai-pegawai terbabit merasa terkejut, cemas, takut, bimbang, hilang semangat berkerja dan sebagainya kerana memikirkan meraka akan terpaksa membayar surcharge atas tanggungjawab mereka terhadap kesalahan LO Songsang yang belum tentu itu adalah kesalahan sebenar mereka. Perkara ini dibangkitkan oleh Pengarah Bahagian Latihan Jakim, Puan Hajah Pauzaiyah Haron dalam Mesyuarat Pagi Jakim Bil. 1/2009 pada 14 Januari 2009.
Keresahan pegawai-pegawai terbabit ada asasnya. Mana tidaknya, difahamkan mereka bakal dikenakan surcharge hingga mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit sedangkan gaji sebahagian dari mereka itu kalau dikumpul setahun pun belum tentu mampu membayar jumlah itu.
Penjelasan TKP(P) Jakim, Encik Mohd. Noor Abd. Hamid dalam mesyuarat berkenaan sekurang-kurangnya mampu meredakan kebimbangan ini. Beliau menjelaskan bahawa surcharge akan dikenakan kepada pegawai yang benar-benar bertanggungjawab terhadap kelalaian LO Songsang itu. Justeru katanya pihak pengurusan Jakim akan menubuhkan pasukan penyiasat khas bagi meneliti perkara ini. Pasukan ini bertanggungjawab menyiasat punca sebenar berlakunya LO Songsang ini dan akan melaporkannya kepada pihak pengurusan untuk memutuskan siapakah yang bertanggungjawab dalam hal ini dan akan dikenakan tindakan.
Beliau juga menjelaskan, buat masa ini, sebagai memenuhi syarat dan prosedur untuk pembayaran Arahan Perbendaharan (AP) 59 iaitu berkenaan pembayaran segera kepada pihak pembekal yang telah memberikan perkhidmatan, maka nama pegawai yang memohon LO berkenaan perlu digunakan dahulu walaupun pada hakikatnya mereka belum diputuskan bersalah atas kesalahan tersebut.
Berikut adalah petikan AP 59 mengenai perkara ini :
“Walau apapun peruntukan mana-mana Arahan Perbendaharaan yang lain, pembayaran suatu bil yang dikemukakan dengan sempurnanya oleh seseorang bagi barang atau perkhidmatan yang dipesan dan dibekalkan dengan suci hati kepada kerajaan tidak boleh ditahan oleh sebab apa-apa keraguan sama ada pertanggungan itu telah dilakukan dengan sepatutnya oleh pegawai kerajaan yang bertanggungjawab. Jika Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau Pegawai Kewangan Negeri berpuas hati bahawa suatu tanggungan kontrak telah dilakukan, tetapi berpendapat bahawa seseorang pegawai mungkin telah bersalah pada melakukannya, bil itu hendaklah dibayar dengan segera dan dipertanggungkan pada mula-mulanya kepada Akaun Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam) atas nama pegawai yang berkenaan, atau, jika nama pegawai yang berkenaan itu tidak dapat ditentukan dengan serta-merta, atas nama jawatan Pegawai Pengawal yang berkenaan sementara menantikan keputusan penyelesaian perkara tersebut. Pegawai Pengawal hendaklah dengan segera tetapi tidak lewat daripada 60 hari daripada tarikh pendahuluan diri diluluskan menyampaikan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan atau Pegawai Kewangan Negeri suatu laporan bertulis menghuraikan sebab-sebab yang mendorongnya menyimpang daripada cara yang biasa. Pelarasan pendahuluan diri hanya boleh dilakukan setelah mendapat kelulusan Ketua SetiausahaPerbendaharaan atau Pegawai Kewangan Negeri”.
( Dipetik dari Arahan Perbendaharaan terbitan tahun 2000 )
Oleh itu, pihak PKPU ingin mengambil kesempatan ini menasihati para pegawai yang terlibat dengan isu LO Songsang ini agar jangan merasa takut dan bimbang selagi mereka tidak disabitkan atas kesalahan tersebut. PKPU juga yakin dan percaya bahawa kemungkinan kalaupun berlaku kesalahan tersebut sebenarnya ia bukanlah kesalahan mutlak pegawai tersebut. Mungkin sebab-sebab luaran yang lain menyebabkan berlakunya perkara seperti ini tanpa kerelaan pegawai terbabit.
Sebagai penjawat awam, kita sering menerima arahan dari masa ke samasa oleh ketua kita. Kadang-kadang arahan tersebut terlalu singkat sehingga tidak sempat untuk memohon LO dan ini terpaksa dilakukan juga kerana bimbang juga dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak mengikut arahan selain menjaga nama baik agensi agar setiap arahan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Perkara ini kadang-kadang tidak difikirkan oleh pihak-pihak tertentu. Bagi mereka, meraka hanya mahu melihat sesuatu program dapat dilaksankan dengan jayanya…sebaliknya mereka tidak mahu tahu bagaimana program itu perlu diuruskan asalkan hasilnya membanggakan. Yang menjadi mangsa ialah pegawai terbabit.
Tetapi PKPU sama sekali tidak dapat memaafkan kesalahan ini sekiranya berlaku akibat kealpaan pegawai bertanggungjawab. Arahan telah lama dikeluarkan, program telah lama dirancang, tetapi sikap “tak pa” atau “tunggu sat” atau “awal lagi” yang sering menjadi amalan pegawai terbabit perlu dihukum setimpalnya. Kata pepatah, “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, kerana kealpaan mereka inilah menyebabkan Jakim sering diperlekehkan oleh agensi-agensi lain yang menyifatkan Jakim sebagai tidak efisyen, lembab, tak pandai mengurus. “Itulah ustaz buat kerja…” ayat ini membuatkan rosak susu sebelanga.
PKPU merasa simpati atas usaha gigih yang dilakukan oleh pihak pengurusan yang bersungguh-sungguh mahu mempertingkatkan tahap kecekapan pengurusan Jabatan demi memberi kepercayaan kepada masyarakat. Tetapi usaha ini akan terjejas dengan adanya sikap pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab seperti yang diperkatakan.
Oleh sebab itu PKPU merasakan bahawa semua kakitangan Jakim, tidak kira dari skim mana, gred apa, mereka ini perlu diberi kefahaman yang jelas tentang hasrat, misi, visi dan hala tuju Jabatan. Ini untuk memastikan mereka tidak menjadi tentera yang hanya tahu berperang kerana arahan panglimanya semata-mata tanpa tahu matlamat akhir dari peperangan tersebut. Ini juga agar meraka tidak akan menjadi tentera yang bacul, yang hanya berperang apabila dijanjikan balasan dan habuan dan mereka akan mengkhinati pasukan apabila mereka tidak mendapat habuan itu. Bagi mereka biarlah tentera lain berperang bermati-matian sedangkan bagi mereka cukuplah sekadar digelar tentera yang berada dalam pasukan perang dan boleh berbangga dengan apa yang mereka lakukan itu.
Selamat berjuang.
Zakaria bin Othman
Exco Penerbitan dan Penerangan PKPU