KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KAKITANGAN PERKHIDMATAN UGAMA (PKPU), JAKIM
MENGENAI PELANTIKAN KETUA PENGARAH JAKIM YANG BAHARU

1. Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), JAKIM menyambut baik dan bersyukur atas pelantikan kerajaan terhadap YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober 2024. Sebagai sebuah pertubuhan yang dianggotai oleh skim perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI), JAKIM di seluruh negara, PKPU amat berbangga apabila kepimpinan negara memberi pengiktirafan kepada PHEI untuk mengetuai sebuah agensi agama di peringkat Persekutuan seperti JAKIM.

2. PKPU yakin dan percaya bahawa kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membuat pertimbangan sewajarnya dalam memilih dan melantik YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin yang merupakan seorang pegawai yang berpengalaman dalam pengurusan hal ehwal Islam. Pelantikan ini sudah pasti akan membawa JAKIM terus memacu kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

3. PKPU berjanji dan berazam untuk sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan JAKIM dan negara serta akan terus berusaha gigih mempertingkatkan usaha bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

4. Dalam pada itu, PKPU tidak melupakan jasa dan sumbang bakti YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff, mantan Ketua Pengarah JAKIM yang telah memimpin organisasi ini sejak 21 Mac 2022 hingga 30 September 2024. YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah merupakan seorang ketua yang begitu berdedikasi tinggi dan sentiasa fokus dalam melaksanakan tugas dan kewajipan beliau. Pelantikan beliau sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal Malaysia merupakan bukti pengiktirafan kerajaan terhadap pengalaman beliau dalam pengurusan hal ehwal Islam khususnya dalam bidang pensijilan halal Malaysia. PKPU berdoa semoga YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah diberi kesihatan dan kekuatan untuk memikul amanah ini.

5. Sekali lagi, PKPU ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri, YB Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YBhg. Ketua Setiausaha Negara kerana telah memberi perhatian penting terhadap JAKIM dan skim perkhidmatan PHEI, JAKIM.

Sekian, terima kasih.

KOLONEL DATUK HAJI MOHD. AJIB BIN ISMAIL
Presiden PKPU, JAKIM

1 Oktober 2024