Persatuan Kakitangan Ugama (PKPU) memandang serius terhadap gesaan pihak yang mengusulkan penggantian Mufti Wilayah dan Menteri Agama susulan isu pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024. Saranan sebegini bukan sahaja tidak menghormati kepimpinan dan institusi agama yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Islam, tetapi juga berpotensi menghakis kepercayaan awam terhadap institusi agama yang menjadi rujukan umat Islam.
PKPU menolak sebarang desakan tidak berasas untuk menggantikan Mufti Wilayah atau Menteri Agama semata-mata atas isu perbezaan pendekatan atau pandangan. Usul sebegini bukan sahaja tidak berasas, tetapi turut berpotensi menggugat kredibiliti institusi agama yang berperanan penting dalam membimbing masyarakat dengan kefahaman Islam yang jelas.
PKPU menegaskan bahawa desakan melulu terhadap Mufti Wilayah dan Menteri Agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima terutama melibatkan isu yang boleh ditangani secara lebih berhemah. Dalam perkara melibatkan perbezaan pandangan, adalah penting bagi semua pihak untuk berlapang dada dengan melazimkan Adab al-Ikhtilaf demi memelihara keharmonian serta mengelakkan sebarang bentuk pertentangan yang tidak diperlukan.
Cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah disusun mengikut lunas undang-undang dan melalui proses pertimbangan yang teliti dengan melibatkan pakar agama serta undang-undang. Matlamatnya adalah untuk memperkukuhkan peranan mufti dalam menjaga kepentingan ummah dan keutuhan penghayatan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, PKPU memohon semua pihak untuk terus memberikan dokongan terhadap cadangan pindaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan sebagai suatu langkah strategik dalam memperkukuh institusi agama di Malaysia. Dengan sokongan yang padu, kita dapat memastikan bahawa institusi agama terus berfungsi dengan efektif, menjunjung tinggi nilai keadilan dan menjaga keharmonian masyarakat Madani.
Sekian, terima kasih.
NORZAIDAN BIN HAJI HAMAD
Setiausaha
Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU)
31 Oktober 2024